MENTERI AGAMA RAI 765 GRADUAN DI MAJLIS KONVOKESYEN KE-17 KPBKL

MENTERI AGAMA RAI 765 GRADUAN DI MAJLIS KONVOKESYEN KE-17 KPBKL

SERDANG – Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar, telah hadir untuk bersama meraikan 765 graduan daripada pelbagai program anjuran Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL) di Majlis Konvokesyen Ke-17 KPBKL di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia, Serdang, hari ini.

Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Tuan Syed Kamarulzaman bin Syed Kabeer, Pengerusi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP), Datuk Nizam bin Yahya, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MAIWP, Tuan Haji Zuri Zabuddin bin Budiman, Pengerusi Lembaga Pengarah Institut Profesional Baitulmal Sdn. Bhd serta ahli-ahli Lembaga Pengarah dan Professor Madya Dr. Haji Mohammad Firdaus Low bin Abdullah, Ketua Pegawai Eksekutif KPBKL.

Berucap di majlis tersebut, YB Senator Dato’ Setia Dr. Haji Mohd Na’im bin Haji Mokhtar berkata, “Dalam menjayakan pelan Al-Falah, iaitu Pelan Transformasi Hal Ehwal Agama (HEA) yang selaras dengan agenda pembaharuan dan pembangunan ummah dan sejajar dengan aspirasi ‘Membangun Malaysia MADANI’, besarlah harapan saya untuk KPBKL memainkan peranan yang amat penting dalam merealisasikan apa yang digariskan dalam pelan Al-Falah, khususnya dalam melahirkan ilmuwan Islam yang kompeten dan holistik sebagai pencetus pembangunan ummah, kini dan masa hadapan.”

“Majlis konvokesyen hari ini adalah bukti kepada kejayaan MAIWP dan KPBKL dalam menyempurnakan misi ini sekali lagi dan diharapkan agar lebih ramai graduan dapat mengecapi nikmat daripada pendidikan yang disediakan di KPBKL di masa akan datang,” tambah beliau.

Majlis konvokesyen kali ini juga menampilkan perisytiharan keahlian alumni KPBKL yang baru sahaja ditubuhkan tahun ini. Hadir mewakili Persatuan Alumni KPBKL ialah Dato’ Dr. Mazlan bin Haji Ahmad, alumni KPBKL tahun 1995 yang kini bergelar pengasas Masyi Group.

Bercakap di majlis tersebut, Prof. Madya Dr. Haji Mohammad Firdaus Low, Ketua Pegawai Eksekutif KPBKL berkata, “Dengan adanya majlis yang gilang-gemilang seperti ini, barulah kemanisan kejayaan dapat dirasai nikmatnya oleh para graduan serta ahli keluarga mereka. Disinilah tempat mereka menamatkan pengajian mereka, dan disinilah juga mereka bermula untuk meneruskan perjuangan dalam kehidupan sebagai ilmuwan yang menyumbang kepada bangsa, agama dan negara.”

Tambahnya lagi,”KPBKL amat bangga dapat menjadi platform terbaik dalam membantu golongan asnaf mendapatkan pendidikan yang diharapkan dapat mengolah kehidupan keluarga dan ummah agar lebih makmur dan bermakna.”

 

09 November 2024

Sumber : Perancangan Strategik & Komunikasi

Lain-Lain Berita