Kata Aluan KPE

Kata Aluan KPE
YBHG. PROF. MADYA DR. HJ. MOHAMMAD FIRDAUS LOW ABDULLAH
perutusan

KETUA PEGAWAI EKSEKUTIF

Assalamualaikum warahmatullahi wabarakatuh dan Salam Sejahtera.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah yang Maha Pemurah lagi Maha Penyayang kerana dengan limpah dan kurnia-Nya, Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur (KPBKL) terus mengorak langkah untuk mencapai visi dan misinya untuk melahirkan ilmuan profesional yang kompeten dan holistik, khususnya untuk pembangunan ummah.

Justeru, laman web ini adalah salah satu wadah utama untuk KPBKL menyampaikan maklumat terkini tentang KPBKL kepada para pelajar, ibu bapa dan penjaga serta pihak-pihak yang berkepentingan dan masyarakat umum yang berminat dengan perkembangan KPBKL sebagai sebuah institusi pendidikan yang dinamik dan progresif.

Sejak mula beroperasi pada tahun 1992, KPBKL bukan sahaja telah menyantuni lebih daripada 16,000 siswa dan siswi, malah KPBKL terus berusaha untuk melaksanakan inisiatif-inisiatif yang menambah nilai perkhidmatan dan pengalaman pembelajaran dari masa ke semasa.

Dalam memastikan pembangunan secara komprehensif dan berkesan di KPBKL, 5 sasaran strategik telah dirangka khusus dalam menyokong transformasi KPBKL:

  • Penyelarasan dan Pembangunan Jenama KPBKL: Pengukuhan pemasaran digital yang lebih agresif dan terkini menerusi laman web ini dan juga penampilan menerusi saluran media sosial dijangka akan menjadikan KPBKL sebuah entiti yang berhubung rapat dengan komuniti dan pada masa yang sama, menyebarluaskan jenama KPBKL. Peluasan pengaruh digital KPBKL ini juga diharapkan untuk menjangkaui pasaran selain asnaf, termasuklah pasaran antarabangsa.
  • Peningkatan Kualiti Akademik: KPBKL berusaha untuk memastikan kualiti kurikulum, pengajaran dan penilaian adalah pada tahap optimum dan diakreditasi sepenuhnya. Selain itu, penyelarasan program dalam usaha untuk membangun program baru yang berpotensi juga dipergiatkan dalam menyediakan program yang relevan dan bermanfaat kepada para pelajar. Barisan pengajar juga diperkukuhkan dengan sokongan untuk penyelidikan dan penerbitan dalam memperkayakan bidang ilmu.
  • Pengalaman pelajar dan pembelajaran: KPBKL komited untuk menyediakan suasana pembelajaran yang kondusif menerusi fasiliti dan perkhidmatan yang mantap dan dipercayai kepada pelajar-pelajar. Pendekatan pembelajaran secara digital yang inovatif dan berkesan juga dilaksanakan. Pengkayaan pengalaman pembelajaran melalui pendedahan kepada persekitaran luar kampus juga penting selaras hasrat KPBKL untuk melahirkan graduan yang holistik dan berdaya saing.
  • Budaya kerja positif dan peningkatan nilai modal insan: Antara keutamaan KPBKL ialah penerapan budaya kerja yang berdasarkan prestasi dan produktiviti, disokong oleh peluang pembangunan warga kerja menerusi penyelidikan dan penjanaan nilai.
  • Hubungan dengan komuniti: Sama ada hubungan dengan komuniti dalaman mahupun luaran, KPBKL memupuk semangat silaturrahim yang lebih erat ke arah pengalaman pembelajaran yang positif. Pemantapan penglibatan industri juga dipacu menerusi penyelidikan bersama, geran, penajaan, pembangunan karier pelajar, penempatan latihan industri serta kolaborasi. Persatuan Alumni KPBKL juga memberi dorongan kepada bakal pelajar dan pelajar sedia ada dengan berkongsi pengalaman serta sumbangan.

 

Oleh itu, adalah menjadi harapan saya agar laman web rasmi KPBKL ini dapat memberi panduan dan maklumat terkini yang berguna kepada semua pengunjung dalam memenuhi keperluan dalam dunia yang semakin pantas berkembang di era digital ini, khususnya dalam merangsang sasaran KPBKL ke arah kecemerlangan. Saya mengalu-alukan sebarang pandangan dan cadangan yang membina bagi tujuan penambahbaikan KPBKL.

Akhir kata, terima kasih diucapkan kepada anda yang mengenali KPBKL di platform ini dan semoga maklumat yang dikongsi dan diperolehi menerusi saluran ini akan memberi manfaat yang sebaiknya untuk kita semua.

Wassalam.

 

PROF. MADYA DR. HJ. MOHAMMAD FIRDAUS LOW ABDULLAH
Ketua Pegawai Eksekutif
Kolej Profesional Baitulmal Kuala Lumpur

YBHG. DR. RUZIAH BINTI GHAZALI

Ahli Lembaga Pengarah

YBhg. Dr. Ruziah Binti Ghazali adalah pemimpin terkemuka dalam sektor Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) di Malaysia, yang diiktiraf dengan Anugerah Khas sebagai Jurulatih Utama dalam Pembangunan Pendidikan dari TVETecoUSIM. Beliau aktif mempromosikan TVET Islam dan menyokong individu kurang upaya, serta menyumbang kepada buku “Tiada yang Mustahil – Kisah Kejayaan Orang Kurang Upaya.”

Sebagai seorang cendekiawan dan Usahawan Wanita Islam, beliau memberi tumpuan kepada pembangunan wanita dan komuniti, dan telah dianugerahkan Tokoh Saidatina Aishah sempena Hari Wanita Kebangsaan pada tahun 2021.

Dr. Ruziah memiliki PhD dalam Pembangunan Pendidikan dari Universiti Putra Malaysia, Sarjana Sains dalam Sains Pendidikan, dan Ijazah Sarjana Muda (Kepujian) dalam Pengajian Islam dari Universiti Malaya. Beliau juga merupakan Setiausaha Syarikat dan Ejen Cukai yang berlesen.