Lawatan Ilmiah Ke Kilang Sembelihan
24 Julai 2024 – Lawatan ilmiah ke “Zainol Chicken Industries” di Semenyih telah dijalankan melibatkan pelajar Semester 6 Diploma Pengurusan Industri Halal (DPIH), KPBKL. Para pelajar telah diberi peluang untuk memasuki keseluruhan kawasan penyembelihan dan pemprosesan ayam daging dan ayam kampung organik jenama Dr Zainol. Dengan mematuhi prosedur pelawat, para pelajar dapat melihat sendiri keseluruhan proses bermula daripada penerimaan ayam, penggantungan ayam yang hendak disembelih, proses pelalian (“water bath stunning”), penyembelihan oleh penyembelih bertauliah, pemeriksaan halal sehingga ayam dibungkus dan dibekukan di dalam ruang penyimpanan beku serta siap sedia untuk diedarkan. Para pelajar turut berpeluang mempelajari amalan sembelihan bagi industri berskala besar dalam menepati keperluan Standard Halal Malaysia MS 1500:2009, keperluan Pensijilan Halal Malaysia serta lain-lain perundangan dan peraturan berkaitan.